Sunday, May 30, 2010

Transisi ke arah kebaikan.

"Transisi ke arah kebaikan" atau "perubahan ke arah yang lebih baik" mempunyai maksud yang tersirat. Apabila seseorang itu mempunyai keinginan untuk melakukan perubahan ke atas dirinya, bermakna dia ingin menghijrahkan dirinya menjadi seseorang individu yang lebih baik dan sentiasa mendapat rahmat dari-NYA. Itulah yang dinamakan pengorbanan terbesar bagi seseorang demi menjaga "maruah dan hubungannya dengan Allah SWT."

Bukan mudah untuk seseorang itu melakukan perubahan di dalam hidupnya, terutama berkaitan dengan cara hidup, pemakaian serta yang melibatkan dirinya sendiri. Apabila keinginan untuk melakukan perubahan dicampakkan dalam hati bermakna, Allah memberi kesempatan atau peluang kepada kita untuk melakukan perubahan dan ternyata Allah masih menyayangi kita. Kerana itulah Allah SWT mendorongkan hati seseorang, untuk berubah mengikut syariat yang telah ditetapkan. Mengapa begitu sukar bagi kita untuk mengikutinya? Adakah berat untuk kita melaksanakan apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT? Hanya kita yang mampu memberikan jawapan kepada persoalan tersebut.

Perubahan dalam diri memerlukan pengisian yang mampu memberikan kita kefahaman, mengenai apa yang dikehendaki Allah SWT kepada setiap hamba ciptaan-NYA. Pengisian yang menyeluruh mampu membawa seseorang itu mengenali Allah, menyayangi Allah dan merasa takut terhadap ancaman Allah, serta menjadikan seseorang itu taat kepada perintah Allah SWT. Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan yang melibatkan dosa kecil sehinggalah kepada dosa besar. Oleh yang demikian, bermuhasabah terhadap diri sendiri merupakan jalan terbaik untuk menimbulkan kesedaran, serta mewujudkan keinsafan dalam diri dalam melakukan perubahan.

Melakukan perubahan bukan kerana paksaan atau desakan individu lain, tetapi berubahlah kerana Allah SWT dan ikhlaskan hati kita, kerana Keberkatan Dan kerahmatan Allah SWT menjamin kebahagian kita di dunia dan akhirat...INSYAALLAH.