Tuesday, November 2, 2010

Aku si budak kotak...

Bila teringat kembali kenangan lalu, ketika aku berumur 6 tahun...teringat akan gelaran yang diberikan kepada aku iaitu "budak kotak" hahaha...mesti orang akan tertanya-tanya kenapa "budak kotak"?. Alkisahnya aku ni selalu pergi ke ofis mama aku selepas waktu sekolah, nak dijadikan cerita setiap kali aku sampai ofis mama comfirm mata aku ngantok dan aku akan mencari port yang paling best untuk aku membuat taik mata dan peta malaysia. So port aku yang paling best apa lagi "kotak" yang sederhana besar maklumlah waktu tuh pun aku kecil jek bukan besar manapun. Perghh memang layan la tidur dalam kotak...dengan bantal busuk,pastu penghawa dingin yang sejuk lak,menyebabkan aku rasa macam satu kenikmatan betul.hahahaha

Sampai satu tahap semua orang kt ofis mama aku akan cakap "haa budak kotak dah balik nak cari kotak buat air liur basi la tuh" hahahaha...aku dengan muka yang agak slumber gitu, buat tak tahu je, janji aku boley tidur dengan nyenyaknya sudah..ada aku kisah?padahal diorang cemburu sebab tak boleh nak tidur macam aku...hahahah. Bila ingat2 balik kelakar pun ada, macam mana laa aku ley cari kotak nak tidur, ish2 pelik betul mujur dah besar-besar ni tak suka tidur dalam kotak kalau tak haruu..hahahah

Sunday, July 25, 2010

ABAH...

ABAH...
teringat akan kejadian 3 tahun yang lepas,
aku bangun di awal pagi dengan penuh keceriaan,
tetapi keceriaan itu diragut dengan kesedihan,kesenduan, kepiluan,
mengapa begitu abah?
aku seperti orang yang hilang kewarasan akal dan fikiran,
otak aku tepu...barangkali masih terkejut dengan apa yang berlaku,
aku berlari seperti orang gila, cuba mencari bantuan,
tapi apakan daya kuasa Allah mengatasi segalanya,
aku berdoa kepada Allah supaya tidak mengambil "dia" daripada aku,
aku terfikir barangkali aku kehilangan "dia",
mengapa begitu pantas? tidak kasihanikah aku yang masih menginginkan "dia".

ABAH...
air mata tidak henti-henti mengalir,
kenapa mesti tangisi orang yang telah pergi,
tidak baik bukan...tapi aku manusia biasa,
tidak mampu menerima ketentuan Ilahi,
aku kehilangan "dia" sekelip mata,
sedangkan semalam aku baru melihat tawa riangnya,kami menghirup udara petang bersama-sama, malamnya kami makan bersama-sama,
banyak pesanan yang ditinggalkan kepada aku dan abang,
rupanya "dia" akan pergi meninggalkan kami untuk selamanya.

ABAH...
aku belum puas untuk bermanja,
walaupun tidak pernah berpisah dan jauh darinya,
aku tetap tidak puas,
hidup bersamanya hanya 18 tahun...terlalu singkat bukan?
tapi itu adalah ketentuan Ilahi,aku harus menerima takdir yang telah ditentukan,
perginya "dia" memberikan kesan yang mendalam kepada aku,
kepergian "dia" membunuh seluruh keceriaan hidupku.

ABAH...
terimbas kembali kenangan bersamanya,
suka memasak itu adalah hobinya, aku akan disuruh untuk menolongnya,
tetapi aku akan memberikan beribu-ribu alasan supaya aku tidak perlu menolongnya,
katanya aku anak dara pemalas, tapi aku masih juga tidak mengendahkannya,
bagi aku sampai satu masa aku akan pandai seperti "dia" juga,

ingat lagi aku sewaktu "dia" menghantar dan mengambil aku dari sekolah,
setiap kali dihantar ke sekolah,"dia" akan menyuruh aku membaca sifir,
setiap kali itu aku perlu menghafal kesemua sifir supaya aku tidak didenda,
"dia" membelikan aku alat menghafal sifir, tidak semua kawan-kawan aku memilikinya,
hanya aku sahaja!! sangat teruja pada ketika itu,
aku tahu "dia" mahu aku menjadi pandai dan berjaya dalam hidup,
tetapi aku tidak menyedarinya, aku lalai,
sehinggalah aku menyedarinya ketika aku berumur 18 tahun,
sewaktu itu aku berada di tingkatan 6,
maka aku berkata-kata di dalam hati, yang aku akan tunjukkan kepada "dia"
aku mampu menjejakkan kaki ke universiti.
tapi masa itu tidak kesampaian kerana "dia" pergi dahulu sebelum aku menunjukkan hasilnya.

ABAH...
kesedihan bukan kepalang,
melihat orang lain mempunyai ketua yang bertugas sebagai pelindung,
aku bagaimana?
aku kehilangannya,aku tidak mempunyai seorang lelaki yang mampu menjadi pelindung seperti "dia" melindungi aku daripada segala bahaya,
aku cemburu abah...aku akan menangis semahu-mahunya,
setiap kali mengingatinya air mata mengalir membasahi pipi aku,
aku sangat merinduinya.

ABAH...
setiap kali aku pulang ke rumah, rumah itu sunyi,
selalunya aku akan mendengar bunyi suara daripada tv, atau suara orang bernyanyi di bilik komputer,
tapi bila aku masuk bunyi itu tidak lagi kedengaran,
aku sunyi, aku keseorangan,
aku menangis lagi abah, aku rindu...

ABAH...
tanggal 18.12.2006 adalah tarikh kematiannya,
masih segar dalam ingatanku,
tidak mungkin aku melupakannya,
kini genap 4 tahun kepergiannya,
aku pasrah dengan ketentuan Ilahi,
walaupun berpisah jasad dan berlainan dunia,
tetapi kau tetap dihati.

ABAH...
aku kini sudah bergelar mahasiswi di salah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam yang hebat dan menjadi kebanggaan semua orang,
aku salah seorang pelajar disana,aku sangat bangga abah!
aku akhirnya berjaya juga menjejakkan kaki di sini,
akhirnya impian "dia" ingin melihat aku ke menara gading tercapai,
itulah wasiat terakhirnya,
aku sedih, kerana "dia" tidak bersama-sama aku untuk berkongsi kejayaan dan kegembiraan aku,
walaupun "dia" tidak bersama aku tetapi semangatnya dan pesanannya sentiasa menemani aku, maka aku harus kuat untuk mencapai impian dan harapan yang diberikan tidak akan aku sia-siakan.

ABAH...
bulan puasa kian menjelma dan hari raya bakal membuka jendela,
aku sedih kerana tidak berpeluang untuk berpuasa dan meraikan hari yang mulia bersama-samanya,
teringat akan kenangan di pagi raya,
aku akan menyalaminya dan mencium pipinya,
syahdunya pada ketika itu,
kini aku tidak berpeluang untuk menyalami tangannya serta mencium dan memeluknya,
tetapi aku tetap merasakan kehadirannya di dalam hati.

Buatmu ABAH...
terima kasih kerana mendidik aku menjadi seorang manusia yang berguna,
menjadikan aku insan yang kuat dan cekal dalam menghadapi hari-hari yang mendatang,
walaupun abah kini berada dikejauhan, tetapi doa pengikat aku dan abah,
abah...semoga rohmu ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.Insyaallah amin.

"Dia" itu adalah ABAH ku yang disayangi dan dikasihi...(",)

Sunday, June 13, 2010

Kerjaya vs Belajar.

Kenapa tajuk ini menjadi pilihan? jawapannya sangat ringkas, kerana pengalaman dalam kedua-dua bidang ini telah memberikan saya idea untuk terus mengarang. Dunia berkerjaya merupakan dunia baru dalam hidup saya, kerana saat ini saya sedang menjalani latihan industri atau praktikal di salah sebuah syarikat swasta yang menerbitkan majalah serta buku. Walaupun masa yang diberikan agak singkat, tetapi banyak pengalaman yang saya perolehi sehingga kini. Saya pada ketika ini, masih lagi memegang status "pelajar" dan bakal menamatkan pengajian pada tahun 2011, Insyaallah sekiranya diizinkan Allah SWT. Bagi saya, pengalaman sebagai individu yang berkerjaya memerlukan komitmen yang sangat tinggi.

Selama sebulan saya bekerja, banyak pendedahan yang diberikan terutama dalam bidang komunikasi massa, individu yang terlibat dalam organisasi media sebenarnya merupakan indvidu yang sibuk. Setiap hari, mereka perlu mencari bahan atau maklumat semasa untuk disisipkan ke dalam majalah atau akhbar, ia bertujuan untuk memberikan informasi kepada khalayak pembaca. Di syarikat ini saya telah ditugaskan sebagai wartawan pelatih, bekerja sebagai seorang wartawan pelatih di syarikat ini, banyak memberikan pengalaman yang menyeronokkan. Saya mempelajari banyak perkara yang berkaitan dengan komunikasi 2 hala serta komitmen terhadap kerja yang kita lakukan. Dalam bidang kerjaya, kita terdedah dengan pelbagai orang, ragam serta politik kerja sesebuah organisasi . Oleh itu, tahap kesabaran yang tinggi amat diperlukan supaya setiap tindakan yang dilakukan tidak memberikan implikasi kepada orang lain mahupun organisasi.

Bagi saya, alam pekerjaan bukan suatu perkara yang mudah tambahan lagi mereka yang terlibat dalam organisasi media seperti saya. Hal ini demikian kerana, setiap hari masyarakat memerlukan bahan bacaan untuk menambah input pengetahuan mereka. Oleh itu, media memainkan peranan penting untuk mencari bahan dan menyalurkan segala informasi yang diperoleh kepada masyarakatnya. Baru kini saya tahu bahawa kehidupan orang yang berkerjaya amat meletihkan, walaupun kita hanya duduk di pejabat tanpa melakukan sebarang kerja berat, tetapi otak kita bekerja untuk menghasilkan idea, berfikir dan sebagainya.

Bagaimana pula dengan belajar? pada saya suasana belajar merupakan suasana yang agak sukar ditinggalkan. Walaupun belajar dan kerja mempunyai situasi yang sama, iaitu mempunyai bebanan kerja, komitmen dan menggunakan otak serta tenaga tetapi persekitarannya berbeza, Kemungkinan persekitaran yang terdiri dalam kalangan pelajar menyebabkan saya tidak terlalu stress. Dunia belajar sememangnya indah bagi setiap orang, Mengapa? kerana kita tidak perlu memikirkan soal kehidupan yang terlalu kompleks. Kita hanya tahu untuk mengulangkaji pelajaran dan bergembira bersama rakan-rakan.

Oleh itu, jika diberikan pilihan tentulah saya akan memilih untuk menjadi seorang pelajar. Kerana dunia seorang pelajar adalah dunia untuk mencari ilmu pengetahuan dan tidak memerlukan kita hidup dalam tekanan kerja yang banyak. Akan tetapi pilihan untuk terus bergelar status sebagai pelajar, tidak akan kekal selamanya kerana akhirnya kita akan terjun juga ke alam kerjaya untuk meneruskan kehidupan yang mendatang.

Wednesday, June 2, 2010

Hilangnya sifat perikemanusian...

Media merupakan sumber informasi yang menghubungkan masyarakat dengan isu-isu semasa yang melibatkan masalah negara dan luar negara. Media dilihat sebagai lambang atau cerminan masyarakat, tanpa masyarakat tiadalah media dan tanpa media tiadalah masyarakat. Hal ini bermakna, wujudnya hubungan timbal balik antara media dan masyarakat. Masyarakat memberikan informasi, manakala media pula menyalurkan segala bentuk maklumat itu ke dalam media berbentuk cetak ataupun elektronik. Melalui Media kita menerima informasi dari pelbagai sudut yang melibatkan politik, ekonomi dan sosial.

Isu terkini yang dibawa oleh media adalah mengenai kes "pembuangan dan pembunuhan bayi". Melihat kepada permasalahan ini, menyebabkan saya ingin berkongsi pandangan serta mengulas permasalahan yang berlaku dalam kalangan remaja amnya. Masalah sosial yang kian meningkat dari sehari ke sehari membimbangkan masyarakat umum terutama ibu bapa. Gejala tidak sihat yang membelenggu remaja, agak sukar dihakis memandangkan pengaruh budaya luar yang masuk tidak diberikan sekatan, malah dibiarkan menular masuk dan akhirnya merosakkan akhlak anak remaja yang semakin meningkat dewasa.

Remaja Melayu pada hari ini, dilihat semakin berani mengeksperisikan diri mereka kepada khalayak umum. Mereka tidak segan silu untuk memperlihatkan aksi-aksi yang bertentangan dengan agama, nilai dan budaya timur. Kadangkala perlakuan yang ditonjolkan amat menjijikkan dan menjelekkan orang ramai yang melihatnya. Sedihnya melihat anak remaja Melayu, yang kian hilang pedoman hidup dan semakin tersasar dari landasan yang lurus. Kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa telah disalahgunakan oleh remaja untuk mencari sesuatu yang baru dan menjadikan dunia mereka begitu warna warni.

Di samping itu, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, tidak dilihat sebagai "masalah" atau punca kepada berlakunya kes-kes yang melibatkan zina dan sebagainya, tetapi dianggap sebagai "kebiasaan" bagi masyarakat kota dan juga luar bandar. Tidak ada salah untuk seseorang itu bergaul di antara lelaki dan perempuan, tetapi harus dibataskan pergaulan itu agar tidak menimbulkan sesuatu yang mampu mengundang kepada permasalahan yang melibatkan "seks bebas" terutamanya. Melalui pergaulan sebeginilah yang menyebabkan remaja kita terjerumus dalam gejala tidak sihat dan akhirnya berlakulah kes-kes pengguguran, pembuangan dan yang paling menyedihkan adalah pembunuhan bayi yang tidak berdosa itu.

Siapakah yang harus dipersalahkan disini? persoalan yang agak klise bagi saya, kerana ia sering diperkatakan oleh individu-individu tertentu, jika dilihat kebanyakkan masyarakat akan menuding jari kepada ibu bapa remaja yang terjebak, tetapi mereka tidak pula menyatakan bahawa mereka juga turut terlibat dalam permasalahan ini, walhal masyarakat juga mempunyai peranan dan tanggungjawab sosial kepada individu lain, walaupun mereka tidak mempunyai hubungan atau ikatan kekeluargaan. Memandangkan kita hidup di dalam satu negara, berkongsi hasil dan kekayaan yang dimiliki negara dan mempunyai bilangan ahli masyarakat yang ramai, memerlukan kita menjadi masyarakat yang prihatin terhadap ahli masyarakat yang lain. Amalan bertegur sapa dan mengambil tahu (bukan bermaksud menjaga tepi kain orang lain) tetapi kita kisah dengan apa yang berlaku kepada masyarakat kita dan bagaimana kita mencari penyelesaiaan terhadap permasalahan itu, tetapi perkara sebegini tidak berlaku dalam kalangan masyarakat kita, apa yang berlaku umpatan, tohmahan dan kata-kata keji yang dilemparkan oleh masyarakat kepada mereka yang terlibat.

Ibu bapa juga tidak dinafikan kesalahannya, mereka merupakan individu utama yang harus dipersalahkan, kerana didikan awal bermula di rumah bukan di luar rumah. Ibu bapa yang seharusnya memberikan didikan dari segi agama dan akademik tidak pula menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya. Mereka lebih mementingkan kerjaya daripada mendidik anak-anak dengan pengisian rohani yang sepatutnya, bagi mereka memadailah dengan menyediakan segala bentuk kemewahan dan pendidikan, tetapi tidak terfikir akan kemungkinan yang berlaku pada masa akan datang. Apabila terjadinya perkara yang tidak diingini, ibu bapa mula menggelabah dan mencari pelbagai kaedah untuk menutup pekung dan malu supaya tidak diketahui oleh masyarakat.

Pembuangan dan pembunuhan bayi kini dilihat semakin meningkat saban hari, tidak adakah sekelumit perasaan belas ihsan mereka terhadap bayi yang telah dikandung itu?tidak kesiankah mereka melihat bayi tersebut dibunuh dengan kejam? Itulah yang dikatakan, apabila nafsu menguasai diri segala yang haram telah dihalalkan. Sifat tidak berperikemanusiaan telah menyebabkan mereka membenarkan segala perbuatan yang salah dan menidakkan perbuatan yang benar.

Ketandusan kasih sayang daripada ibu bapa dan ahli keluarga yang lain, menyebabkan mereka mudah dipengaruhi. Mereka akan mencari sesuatu yang mampu mengisi kekosongan di dalam hati dan mencari hiburan yang mampu memberikan ketenangan jiwa kepada mereka.

Oleh itu, Kerajaan seharusnya menghentikan kemasukan budaya barat ke timur,kerana budaya sebegini mampu merosakkan akhlak remaja. Pembangunan modal insan tidak mungkin terhasil dalam kalangan remaja hari ini, sekiranya budaya barat masih kuat mempengaruhi minda mereka. Ibu bapa juga seharusnya memantau setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka, mereka perlu mencari pendekatan terbaik dalam membimbing anak-anak atau remaja lain untuk menentukan hala tuju kehidupan pada masa akan datang.

mama itu ibu dan temanku...


Mama adalah insan yang paling aku sayangi. Mengapa aku berkata sedemikian? jawapannya sangat "simple", kerana mama telah mengandungkan aku selama sembilan bulan, mama yang melahirkan aku, mama yang mencurahkan kasih dan sayangnya kepada aku, mama yang menjaga aku ketika sakit, mama yang menidurkan aku, mama menyediakan makan dan minum serta pakaian aku dan kalau nak disenaraikan terlalu banyak. Itulah pengorbanan seorang "ibu" kepada anak-anaknya. Mama tidak pernah mengeluh dan meminta balasan dengan apa yang telah dilakukan untuk anak-anaknya, bagi mama asal anak-anak gembira sudah cukup menceriakan hatinya.

Mama merupakan insan yang sangat memahami, penyayang, baik hati, kelakar dan "sporting". Aku merupakan anak yang paling manja dalam keluarga, kemanjaan aku itu dapat dilihat apabila aku bersama mama. Mama tidak pernah letih melayan kerenah aku yang banyak ragam, kuat merajuk dan sangat sensitif. Kadang-kadang nak tergelak pun ada, umur dah masuk 22 tahun tapi perangai tidak pernah berubah. Kesian mama kan nak kena layan anak dara tunggalnya.

Mama tempat aku berkongsi suka dan duka, daripada A sampai Z aku mesti akan ceritakan pada mama...tak ada rahsia antara kami. Aku seringkali menceritakan tentang masalah hati..hehe.."cinta" la tuh...tentang sekolah...tentang apa sahaja aktiviti yang aku buat sehinggalah kini walaupun aku telah menjejakkan kaki ke Universiti. Bagi aku hanya mama sahabat yang termahal aku miliki, tiada siapa yang dapat menggantikan takhtanya didalam hati kecilku.

Sewaktu aku bersedih mama datang memujukku, ketika aku tidak bersemangat mama yang meniupkan semula semangat itu ke dalam diriku sehingga menusuk ke dasar hati. Betapa hebatnya penangan mama kepada aku. Mengimbas kembali detik kehilangan seorang yang bergelar "ayah", ketika itu aku berusia 18 tahun, mama yang banyak menenangkan aku supaya mengingati Allah. Bayangkan "Abah" gelaran yang kuberikan kepadanya pergi secara mengejut, padahal semalamnya baru sahaja kami berborak, melepak dan makan bersama, akhirnya pergi meninggalkan kami, alangkah terkejutnya aku sehingga tidak dapat menerima kenyataan tetapi mama yang memujukku. Kata mama "kita kena terima segala ketentuan Allah SWT, setiap yang hidup pasti akan mati", aduhaii air mata yang mengalir tidak henti-henti mengalir. Mama dilihat begitu tabah dan menerima kenyataan bahawa "Suaminya telah pergi untuk selama-lamanya".
Itulah mama aku...kalau individu lain pasti menangis semahu-mahunya kerana kehilangan insan yang tersayang.

Ketika aku ditawarkan memasuki Insititut Tinggi Pengajian Awam (IPTA), mama orang yang paling gembira. Kegembiraannya itu membuatkan aku terharu dan menangis, kerana aku telah memberikan hadiah yang teristimewa kepada mama dan arwah abah. Bukan mudah bagi aku atau sesiapa untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sokongan dan dorongan daripada mama yang membuatkan aku berusaha sebaik mungkin, di samping doa yang mengiringi hari-hariku membolehkan aku melakar kejayaan pada masa akan datang. Alhamdulillah tercapai jua hasrat "Abah" dan mama untuk melihat aku menerima segulung ijazah.

Perpisahan terjadi jua antara aku dan mama...mama di utara aku pula di barat...adoiii menyeksakan...aku tidak pernah berenggang dengan mama dari aku selamat dilahirkan sehinggalah ditawarkan ke IPTA. Sedih yang teramat sangat menyelubungi diriku, tapi mama sentiasa memberikan aku semangat, aku tahu mama juga bersedih kerana terpaksa berpisah denganku. Tetapi mama merelakan pemergianku demi masa depan "aku". Oh mama pengorbanan mu itu membuatkan aku terharu. Walaupun jarak memisahkan kami...aku tidak pernah melupai mama, hari-hari aku akan menelefon mama untuk bertanyakan khabar, borak-borak kosong dan melampiaskan "kerinduan" yang tidak tertahan.

Aku seringkali terfikir bagaimana kalau mama "tak ada"? macam mana dengan aku?siapa yang nak dengar rintihan aku?siapa yang akan memberikan semangat kepada aku? dan yang paling utama dengan siapa aku nak bermanja????? aku tidak boleh kehilangan mama sebab mama penting dalam hidup aku, mama orang yang paling aku sayang, dan mama adalah segala-segalanya bagi aku. Tanpa mama siapa aku??tanpa mama aku tidak akan berjaya seperti sekarang! "Ya Allah, Engkau panjangkanlah umur ibuku, berikanlah kesejahteraan hidup kepadanya di dunia dan akhirat, Engkau berikanlah peluang kepada hambaMU ini untuk membalas segala jasa yang telah dicurahkannya kepadaku"amin...

buat mama tersayang: I Love U very muchhhhhhh....terima kasih di atas pengorbanan dan kasih sayang mu itu, terima kasih kerana menjadi seorang ibu yang memahami dan terima kasih juga kerana sudi berkongsi segala suka dan duka wien. Bagi wien mama adalah anugerah Allah yang paling istimewa dan tidak mungkin akan ada penggantinya...

kepada anda yang membacanya...terima kasih kerana meluangkan masa untuk membaca hasil nukilan saya, hargailah ibu kita...ibu adalah anugerah teristimewa Allah SWT kurniakan kepada kita yang bergelar anak. Apabila kita menyayangi ibu maka Allah akan mencampakkan rasa kasih dan sayang pula kepada anak kita dan seterusnya. Janganlah sesekali kita menderhakai ibu kerana syurga terletak dibawah tapak kaki ibu. Sayangilah ibu anda...:)

Sunday, May 30, 2010

Transisi ke arah kebaikan.

"Transisi ke arah kebaikan" atau "perubahan ke arah yang lebih baik" mempunyai maksud yang tersirat. Apabila seseorang itu mempunyai keinginan untuk melakukan perubahan ke atas dirinya, bermakna dia ingin menghijrahkan dirinya menjadi seseorang individu yang lebih baik dan sentiasa mendapat rahmat dari-NYA. Itulah yang dinamakan pengorbanan terbesar bagi seseorang demi menjaga "maruah dan hubungannya dengan Allah SWT."

Bukan mudah untuk seseorang itu melakukan perubahan di dalam hidupnya, terutama berkaitan dengan cara hidup, pemakaian serta yang melibatkan dirinya sendiri. Apabila keinginan untuk melakukan perubahan dicampakkan dalam hati bermakna, Allah memberi kesempatan atau peluang kepada kita untuk melakukan perubahan dan ternyata Allah masih menyayangi kita. Kerana itulah Allah SWT mendorongkan hati seseorang, untuk berubah mengikut syariat yang telah ditetapkan. Mengapa begitu sukar bagi kita untuk mengikutinya? Adakah berat untuk kita melaksanakan apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT? Hanya kita yang mampu memberikan jawapan kepada persoalan tersebut.

Perubahan dalam diri memerlukan pengisian yang mampu memberikan kita kefahaman, mengenai apa yang dikehendaki Allah SWT kepada setiap hamba ciptaan-NYA. Pengisian yang menyeluruh mampu membawa seseorang itu mengenali Allah, menyayangi Allah dan merasa takut terhadap ancaman Allah, serta menjadikan seseorang itu taat kepada perintah Allah SWT. Setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan yang melibatkan dosa kecil sehinggalah kepada dosa besar. Oleh yang demikian, bermuhasabah terhadap diri sendiri merupakan jalan terbaik untuk menimbulkan kesedaran, serta mewujudkan keinsafan dalam diri dalam melakukan perubahan.

Melakukan perubahan bukan kerana paksaan atau desakan individu lain, tetapi berubahlah kerana Allah SWT dan ikhlaskan hati kita, kerana Keberkatan Dan kerahmatan Allah SWT menjamin kebahagian kita di dunia dan akhirat...INSYAALLAH.