Sunday, June 13, 2010

Kerjaya vs Belajar.

Kenapa tajuk ini menjadi pilihan? jawapannya sangat ringkas, kerana pengalaman dalam kedua-dua bidang ini telah memberikan saya idea untuk terus mengarang. Dunia berkerjaya merupakan dunia baru dalam hidup saya, kerana saat ini saya sedang menjalani latihan industri atau praktikal di salah sebuah syarikat swasta yang menerbitkan majalah serta buku. Walaupun masa yang diberikan agak singkat, tetapi banyak pengalaman yang saya perolehi sehingga kini. Saya pada ketika ini, masih lagi memegang status "pelajar" dan bakal menamatkan pengajian pada tahun 2011, Insyaallah sekiranya diizinkan Allah SWT. Bagi saya, pengalaman sebagai individu yang berkerjaya memerlukan komitmen yang sangat tinggi.

Selama sebulan saya bekerja, banyak pendedahan yang diberikan terutama dalam bidang komunikasi massa, individu yang terlibat dalam organisasi media sebenarnya merupakan indvidu yang sibuk. Setiap hari, mereka perlu mencari bahan atau maklumat semasa untuk disisipkan ke dalam majalah atau akhbar, ia bertujuan untuk memberikan informasi kepada khalayak pembaca. Di syarikat ini saya telah ditugaskan sebagai wartawan pelatih, bekerja sebagai seorang wartawan pelatih di syarikat ini, banyak memberikan pengalaman yang menyeronokkan. Saya mempelajari banyak perkara yang berkaitan dengan komunikasi 2 hala serta komitmen terhadap kerja yang kita lakukan. Dalam bidang kerjaya, kita terdedah dengan pelbagai orang, ragam serta politik kerja sesebuah organisasi . Oleh itu, tahap kesabaran yang tinggi amat diperlukan supaya setiap tindakan yang dilakukan tidak memberikan implikasi kepada orang lain mahupun organisasi.

Bagi saya, alam pekerjaan bukan suatu perkara yang mudah tambahan lagi mereka yang terlibat dalam organisasi media seperti saya. Hal ini demikian kerana, setiap hari masyarakat memerlukan bahan bacaan untuk menambah input pengetahuan mereka. Oleh itu, media memainkan peranan penting untuk mencari bahan dan menyalurkan segala informasi yang diperoleh kepada masyarakatnya. Baru kini saya tahu bahawa kehidupan orang yang berkerjaya amat meletihkan, walaupun kita hanya duduk di pejabat tanpa melakukan sebarang kerja berat, tetapi otak kita bekerja untuk menghasilkan idea, berfikir dan sebagainya.

Bagaimana pula dengan belajar? pada saya suasana belajar merupakan suasana yang agak sukar ditinggalkan. Walaupun belajar dan kerja mempunyai situasi yang sama, iaitu mempunyai bebanan kerja, komitmen dan menggunakan otak serta tenaga tetapi persekitarannya berbeza, Kemungkinan persekitaran yang terdiri dalam kalangan pelajar menyebabkan saya tidak terlalu stress. Dunia belajar sememangnya indah bagi setiap orang, Mengapa? kerana kita tidak perlu memikirkan soal kehidupan yang terlalu kompleks. Kita hanya tahu untuk mengulangkaji pelajaran dan bergembira bersama rakan-rakan.

Oleh itu, jika diberikan pilihan tentulah saya akan memilih untuk menjadi seorang pelajar. Kerana dunia seorang pelajar adalah dunia untuk mencari ilmu pengetahuan dan tidak memerlukan kita hidup dalam tekanan kerja yang banyak. Akan tetapi pilihan untuk terus bergelar status sebagai pelajar, tidak akan kekal selamanya kerana akhirnya kita akan terjun juga ke alam kerjaya untuk meneruskan kehidupan yang mendatang.

No comments:

Post a Comment