Wednesday, June 2, 2010

Hilangnya sifat perikemanusian...

Media merupakan sumber informasi yang menghubungkan masyarakat dengan isu-isu semasa yang melibatkan masalah negara dan luar negara. Media dilihat sebagai lambang atau cerminan masyarakat, tanpa masyarakat tiadalah media dan tanpa media tiadalah masyarakat. Hal ini bermakna, wujudnya hubungan timbal balik antara media dan masyarakat. Masyarakat memberikan informasi, manakala media pula menyalurkan segala bentuk maklumat itu ke dalam media berbentuk cetak ataupun elektronik. Melalui Media kita menerima informasi dari pelbagai sudut yang melibatkan politik, ekonomi dan sosial.

Isu terkini yang dibawa oleh media adalah mengenai kes "pembuangan dan pembunuhan bayi". Melihat kepada permasalahan ini, menyebabkan saya ingin berkongsi pandangan serta mengulas permasalahan yang berlaku dalam kalangan remaja amnya. Masalah sosial yang kian meningkat dari sehari ke sehari membimbangkan masyarakat umum terutama ibu bapa. Gejala tidak sihat yang membelenggu remaja, agak sukar dihakis memandangkan pengaruh budaya luar yang masuk tidak diberikan sekatan, malah dibiarkan menular masuk dan akhirnya merosakkan akhlak anak remaja yang semakin meningkat dewasa.

Remaja Melayu pada hari ini, dilihat semakin berani mengeksperisikan diri mereka kepada khalayak umum. Mereka tidak segan silu untuk memperlihatkan aksi-aksi yang bertentangan dengan agama, nilai dan budaya timur. Kadangkala perlakuan yang ditonjolkan amat menjijikkan dan menjelekkan orang ramai yang melihatnya. Sedihnya melihat anak remaja Melayu, yang kian hilang pedoman hidup dan semakin tersasar dari landasan yang lurus. Kebebasan yang diberikan oleh ibu bapa telah disalahgunakan oleh remaja untuk mencari sesuatu yang baru dan menjadikan dunia mereka begitu warna warni.

Di samping itu, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, tidak dilihat sebagai "masalah" atau punca kepada berlakunya kes-kes yang melibatkan zina dan sebagainya, tetapi dianggap sebagai "kebiasaan" bagi masyarakat kota dan juga luar bandar. Tidak ada salah untuk seseorang itu bergaul di antara lelaki dan perempuan, tetapi harus dibataskan pergaulan itu agar tidak menimbulkan sesuatu yang mampu mengundang kepada permasalahan yang melibatkan "seks bebas" terutamanya. Melalui pergaulan sebeginilah yang menyebabkan remaja kita terjerumus dalam gejala tidak sihat dan akhirnya berlakulah kes-kes pengguguran, pembuangan dan yang paling menyedihkan adalah pembunuhan bayi yang tidak berdosa itu.

Siapakah yang harus dipersalahkan disini? persoalan yang agak klise bagi saya, kerana ia sering diperkatakan oleh individu-individu tertentu, jika dilihat kebanyakkan masyarakat akan menuding jari kepada ibu bapa remaja yang terjebak, tetapi mereka tidak pula menyatakan bahawa mereka juga turut terlibat dalam permasalahan ini, walhal masyarakat juga mempunyai peranan dan tanggungjawab sosial kepada individu lain, walaupun mereka tidak mempunyai hubungan atau ikatan kekeluargaan. Memandangkan kita hidup di dalam satu negara, berkongsi hasil dan kekayaan yang dimiliki negara dan mempunyai bilangan ahli masyarakat yang ramai, memerlukan kita menjadi masyarakat yang prihatin terhadap ahli masyarakat yang lain. Amalan bertegur sapa dan mengambil tahu (bukan bermaksud menjaga tepi kain orang lain) tetapi kita kisah dengan apa yang berlaku kepada masyarakat kita dan bagaimana kita mencari penyelesaiaan terhadap permasalahan itu, tetapi perkara sebegini tidak berlaku dalam kalangan masyarakat kita, apa yang berlaku umpatan, tohmahan dan kata-kata keji yang dilemparkan oleh masyarakat kepada mereka yang terlibat.

Ibu bapa juga tidak dinafikan kesalahannya, mereka merupakan individu utama yang harus dipersalahkan, kerana didikan awal bermula di rumah bukan di luar rumah. Ibu bapa yang seharusnya memberikan didikan dari segi agama dan akademik tidak pula menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya. Mereka lebih mementingkan kerjaya daripada mendidik anak-anak dengan pengisian rohani yang sepatutnya, bagi mereka memadailah dengan menyediakan segala bentuk kemewahan dan pendidikan, tetapi tidak terfikir akan kemungkinan yang berlaku pada masa akan datang. Apabila terjadinya perkara yang tidak diingini, ibu bapa mula menggelabah dan mencari pelbagai kaedah untuk menutup pekung dan malu supaya tidak diketahui oleh masyarakat.

Pembuangan dan pembunuhan bayi kini dilihat semakin meningkat saban hari, tidak adakah sekelumit perasaan belas ihsan mereka terhadap bayi yang telah dikandung itu?tidak kesiankah mereka melihat bayi tersebut dibunuh dengan kejam? Itulah yang dikatakan, apabila nafsu menguasai diri segala yang haram telah dihalalkan. Sifat tidak berperikemanusiaan telah menyebabkan mereka membenarkan segala perbuatan yang salah dan menidakkan perbuatan yang benar.

Ketandusan kasih sayang daripada ibu bapa dan ahli keluarga yang lain, menyebabkan mereka mudah dipengaruhi. Mereka akan mencari sesuatu yang mampu mengisi kekosongan di dalam hati dan mencari hiburan yang mampu memberikan ketenangan jiwa kepada mereka.

Oleh itu, Kerajaan seharusnya menghentikan kemasukan budaya barat ke timur,kerana budaya sebegini mampu merosakkan akhlak remaja. Pembangunan modal insan tidak mungkin terhasil dalam kalangan remaja hari ini, sekiranya budaya barat masih kuat mempengaruhi minda mereka. Ibu bapa juga seharusnya memantau setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka, mereka perlu mencari pendekatan terbaik dalam membimbing anak-anak atau remaja lain untuk menentukan hala tuju kehidupan pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment